Suatu catatan ringkas dan disertakan dengan foto-foto tentang masjid, surau, madrasah, musolla dan tempat ibadat orang Islam.

Wednesday 8 July 2015

14. Masjid Sultan Muhammad I, Jeli, Kelantan Darul Naim.

Masjid Sultan Muhammad I
 Masjid Bandar Jeli adalah masjid kepala jajahan yang terletak di bandar Jajahan Jeli. Masjid ini telah dibina pada awal tahun 1982 masihi dengan inisiatif pihak KESEDAR dan keprihatinan penduduk setempat tentang kepentingan mewujudkan sebuah masjid untuk kemaslahatan dan kepentingan umat Islam di kawasan  sekitar khususnya dan amnya untuk umat Islam yang bermusafir berhenti rehat bagi menunaikan kewajiban kepada Allah. Akhirnya masjid ini siap dibina dan berfungsi pada tahun 1982 dengan kos perbelanjaan anggaran RM 200,000,00. Masjid Bandar Jeli pernah melakukan beberapa kali penambahbaikan dan pengubahsuaian, dan yang terakhirnya pada tahun 2005. Masjid Bandar Jeli kini berada di bawah pengawasan dan pengelolaan dari sudut pengurusan dan pentadbiran oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Namun begitu, pihak MAIK telah memberi amanah kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan Masjid Kepala Jajahan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berusaha Ketua Jajahan Jeli bagi menguruskan masjid dari sudut pentadbiran dan pengurusan agar masjid berfungsi dengan sebaik mungkin sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak MAIK berdasarkan syari’at Islam. Struktur bangunan Masjid Bandar Jeli yang mempunyai ruangan solat yang luas telah dimanfaatkan oleh ahli jemaah dan juga para pelajar sekolah di sekitar masjid bagi mengisi masa lapang disamping beri’tikaf di dalam masjid untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Disamping  itu juga, sebuah pejabat pentadbiran telah dibina untuk memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan selain dapat memudah dan melancarkan urusan dengan orang ramai daripada kalangan ahli jemaah dan anak mukim dalam setiap hal yang berkaitan dengan hal ehwal masjid dan hal-hal lain.Pada 2014, pertukaran nama Masjid Bandar Jeli telah diputuskan kepada Masjid Sultan Muhammad I oleh MAIK.       
 
  Bagi setiap program yang melihatkan pengurusan jamuan makanan dan minuman seperti majlis berbuka puasa, jamuan hari raya dan sebagainya, pihak pengurusan masjid telah bercadang untuk membina sebuah dewan serbaguna bagi memberi keselesaan dan kemudahan dalam program-program sebagaimana yang dinyatakan. Pada awal tahun 2005, satu mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Masjid telah diadakan untuk membincangkan masalah-masalah yang timbul dan perlu diatasi. Diantara perkara-perkara yang menjadi isu dalam perbincangan ialah masalah kebocoran atap masjid, tentang struktur masjid yang terbuka menyebabkan masalah kekotoran di ruangan solat seperti najis-najis binatang dan sebagainya serta membincangkan tentang penurapan tar di halaman masjid. Di dalam mesyuarat tersebut telah memutuskan beberapa inisiatif dan tindakan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. Peranan yang dimainkan oleh ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Bandar Jeli  yang  sekali lagi telah sama-sama berusaha untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah kebocoran yang berlaku, pada bulan Jun 2005 permohonan telah dibuat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan(JPP) Kelantan dengan dibentangkan kertas kerja dan pelan-pelan cadangan yang telah dilakar oleh ahli jawatankuasa masjid. Alhamdulillah berkat usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak, akhirnya Masjid Bandar Jeli telah mendapat perhatian daripada Yang Berhormat Dato’ Mustafa bin Mohammad yang merupakan Ahli Parlimen Jeli dan juga Pengerusi Industri dan Asas Tani pada ketika itu. Dato’ Seri Mustapha bin Mohammad telah meluluskan satu peruntukan segera kepada Masjid Bandar Jeli sebanyak RM 3.2 juta bagi menyelesaikan masalah kebocoran dan membuat pembaikian semula untuk menyiapkan masjid.
      
   Pada 16 Mei 2006 bersamaan 19 Jamaadil Awwal 1427 hijrah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia As-Sultan Kelantan Tengku Ismail Petra dan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra telah mencemar duli berangkat ke Masjid Bandar Jeli untuk bersolat Jumaat bersama dengan rakyat jelata. Dengan keberangkatan Duli YMM Tuanku, Masjid Bandar Jeli sekali lagi telah berubah wajah kerana telah diberi peruntukan untuk mengecat semula bangunan masjid dan telah diturap 2/3 bahagian kawasan masjid serta kawasan-kawasan sekitarnya. Setelah proses pengubahsuaian dan membaikpulih yang telah dijalankan pada bulan Julai 2005 dan alhamdulillah telah siap sepenuhnya proses-proses tersebut pada bulan Disember 2007. Masjid Bandar Jeli sekali lagi telah berubah wajah dari sudut prasarana fizikalnya. Bagi merealisasikan hasrat dan matlamat MAIK untuk menjadikan masjid bukan hanya tempat untuk bersolat sahaja, beberapa pengisian ilmiah telah dirancang untuk menghidupkan fungsi masjid dari sudut pandangan masyarakat setempat. Semoga masyarakat Islam pada hari ini mengambil berat akan kepentingan masjid untuk sama-sama mengembeling tenaga dan memainkan peranan sebagai sebuah institusi pengembangan modal insan yang berkualiti.

No comments:

Post a Comment