Suatu catatan ringkas dan disertakan dengan foto-foto tentang masjid, surau, madrasah, musolla dan tempat ibadat orang Islam.

Wednesday 8 July 2015

14. Masjid Sultan Muhammad I, Jeli, Kelantan Darul Naim.

Masjid Sultan Muhammad I
 Masjid Bandar Jeli adalah masjid kepala jajahan yang terletak di bandar Jajahan Jeli. Masjid ini telah dibina pada awal tahun 1982 masihi dengan inisiatif pihak KESEDAR dan keprihatinan penduduk setempat tentang kepentingan mewujudkan sebuah masjid untuk kemaslahatan dan kepentingan umat Islam di kawasan  sekitar khususnya dan amnya untuk umat Islam yang bermusafir berhenti rehat bagi menunaikan kewajiban kepada Allah. Akhirnya masjid ini siap dibina dan berfungsi pada tahun 1982 dengan kos perbelanjaan anggaran RM 200,000,00. Masjid Bandar Jeli pernah melakukan beberapa kali penambahbaikan dan pengubahsuaian, dan yang terakhirnya pada tahun 2005. Masjid Bandar Jeli kini berada di bawah pengawasan dan pengelolaan dari sudut pengurusan dan pentadbiran oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Namun begitu, pihak MAIK telah memberi amanah kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan Masjid Kepala Jajahan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berusaha Ketua Jajahan Jeli bagi menguruskan masjid dari sudut pentadbiran dan pengurusan agar masjid berfungsi dengan sebaik mungkin sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak MAIK berdasarkan syari’at Islam. Struktur bangunan Masjid Bandar Jeli yang mempunyai ruangan solat yang luas telah dimanfaatkan oleh ahli jemaah dan juga para pelajar sekolah di sekitar masjid bagi mengisi masa lapang disamping beri’tikaf di dalam masjid untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Disamping  itu juga, sebuah pejabat pentadbiran telah dibina untuk memudahkan urusan pentadbiran dan pengurusan selain dapat memudah dan melancarkan urusan dengan orang ramai daripada kalangan ahli jemaah dan anak mukim dalam setiap hal yang berkaitan dengan hal ehwal masjid dan hal-hal lain.Pada 2014, pertukaran nama Masjid Bandar Jeli telah diputuskan kepada Masjid Sultan Muhammad I oleh MAIK.       
 
  Bagi setiap program yang melihatkan pengurusan jamuan makanan dan minuman seperti majlis berbuka puasa, jamuan hari raya dan sebagainya, pihak pengurusan masjid telah bercadang untuk membina sebuah dewan serbaguna bagi memberi keselesaan dan kemudahan dalam program-program sebagaimana yang dinyatakan. Pada awal tahun 2005, satu mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Masjid telah diadakan untuk membincangkan masalah-masalah yang timbul dan perlu diatasi. Diantara perkara-perkara yang menjadi isu dalam perbincangan ialah masalah kebocoran atap masjid, tentang struktur masjid yang terbuka menyebabkan masalah kekotoran di ruangan solat seperti najis-najis binatang dan sebagainya serta membincangkan tentang penurapan tar di halaman masjid. Di dalam mesyuarat tersebut telah memutuskan beberapa inisiatif dan tindakan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. Peranan yang dimainkan oleh ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Bandar Jeli  yang  sekali lagi telah sama-sama berusaha untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah kebocoran yang berlaku, pada bulan Jun 2005 permohonan telah dibuat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan(JPP) Kelantan dengan dibentangkan kertas kerja dan pelan-pelan cadangan yang telah dilakar oleh ahli jawatankuasa masjid. Alhamdulillah berkat usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak, akhirnya Masjid Bandar Jeli telah mendapat perhatian daripada Yang Berhormat Dato’ Mustafa bin Mohammad yang merupakan Ahli Parlimen Jeli dan juga Pengerusi Industri dan Asas Tani pada ketika itu. Dato’ Seri Mustapha bin Mohammad telah meluluskan satu peruntukan segera kepada Masjid Bandar Jeli sebanyak RM 3.2 juta bagi menyelesaikan masalah kebocoran dan membuat pembaikian semula untuk menyiapkan masjid.
      
   Pada 16 Mei 2006 bersamaan 19 Jamaadil Awwal 1427 hijrah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia As-Sultan Kelantan Tengku Ismail Petra dan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra telah mencemar duli berangkat ke Masjid Bandar Jeli untuk bersolat Jumaat bersama dengan rakyat jelata. Dengan keberangkatan Duli YMM Tuanku, Masjid Bandar Jeli sekali lagi telah berubah wajah kerana telah diberi peruntukan untuk mengecat semula bangunan masjid dan telah diturap 2/3 bahagian kawasan masjid serta kawasan-kawasan sekitarnya. Setelah proses pengubahsuaian dan membaikpulih yang telah dijalankan pada bulan Julai 2005 dan alhamdulillah telah siap sepenuhnya proses-proses tersebut pada bulan Disember 2007. Masjid Bandar Jeli sekali lagi telah berubah wajah dari sudut prasarana fizikalnya. Bagi merealisasikan hasrat dan matlamat MAIK untuk menjadikan masjid bukan hanya tempat untuk bersolat sahaja, beberapa pengisian ilmiah telah dirancang untuk menghidupkan fungsi masjid dari sudut pandangan masyarakat setempat. Semoga masyarakat Islam pada hari ini mengambil berat akan kepentingan masjid untuk sama-sama mengembeling tenaga dan memainkan peranan sebagai sebuah institusi pengembangan modal insan yang berkualiti.

Monday 13 April 2015

13. Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


Masjid Al-Malik Khalid merupakan sebuah masjid di dalam kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Masjid Al-Malik Khalid ini pada mulanya merupakan sebuat Pusat Islam yang dikenali dengan nama Balai Islam dan dikelola di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Rancangan untuk membina Pusat Islam di Kampus Induk Pulau Pinang mula dibincangkan pada akhir 1972 berlanjutan sehingga 1973. Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) USM telah memainkan peranan penting dalam menyediakan memorandum bagi penubuhan Balai Islam di kampus Universiti Sains Malaysia yang telah dikemukakan kepada Y.Bhg. Naib Canselor pertama, Tan Sri Hamzah Sendut. Y.Bhg. Tan Sri Hamdan bin Shaik Tahir, Naib Canselor ke-2, telah memberikan tumpuan yang serius terhadap projek ini dan beliau telah berusaha mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan Pusat dan kerajaan Arab Saudi. Sebagai hasilnya, pada tahun 1977 pihak kerajaan telah memberikan perhatian serius di bawah Rancangan Malaysia ke-2. Kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM 3 juta.


Raja al-Malik Khalid yang merupakan pemerintah kerajaan Arab Saudi ke-3 masa itu, turut menyumbangkan sebahagian besar kos pembiayaan masjid ini. Bagi membalas jasa budi baginda, masjid ini telah dinamakan Masjid al-Malik Khalid. Kompleks Balai Islam dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddn Al Mu'adzam Shah pada 2 September 1983 dan dinaikkan taraf sebagai Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.[1]




Sumber:http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Al-Malik_Khalid

Wednesday 25 March 2015

12. Masjid Al-Wadud Kariah Bukit Bunga, Kelantan Darul Naim.

Masjid Al-Wadud Kariah Bukit Bunga terletak di tepi jalan utama dari Jeli mebuju ke Tanah Merah. Lokasinya yang berhampiran dengan jalan raya dan dekat dengan pekan Bukit Bunga menyebabkan ia disinggahi ramai yang sedang bermusafir.

Masjid Al-Wadud

Dari segi kemudahan...ia mempunyai sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan masjid dan tandasnya antara tandas terbersih yang pernah disinggahi. Tahniah kepada pihak jawatankuasa masjid dan pegawai-pegawai masjid.


Restoran (kiri) dalam kawasan masjid

Pemandangan dari luar.

Ruang solat yang selesa.

Tandas menggunakan sistem air bertapis.

Monday 9 March 2015

11. Masjid Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli.


MASJID DR. TENGKU MUHAMMAD FA-IZ PETRA MERCU TANDA BAHARU UMK

TENGKU Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah berkenan mencemar duli merasmikan masjid baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang secara rasminya dinamakan Masjid Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Pembinaan masjid berharga RM1.5 juta itu mampu menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa bakal menjadi mercu tanda baharu bagi UMK selepas diperkenankan oleh YTM Tengku Mahkota yang menyempurnakan perasmian masjid tersebut di UMK Kampus Jeli, Kelantan, pada 26 September 2014.

 Majlis perasmian masjid itu berlangsung sebaik sahaja YTM Tengku Mahkota selesai menunaikan solat Jumaat bersama-sama warga UMK dan masyarakat sekitar Jeli dengan menurunkan tanda tangan di plak sebagai simbolik kepada perasmian pembinaan masjid tersebut.
Mengiringi baginda ialah Tengku Temenggong Kelantan, YBM Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin Bin Hj. Daud, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB. Dato' Haji Muhamad Shukri bin Muhamad dan Pengarah JAHEAIK, YB. Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Jusoh.
Hadir sama, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan bin Hj. Che Rose, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abdul Aziz bin Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Mohamad Kamal bin Hj. Harun, Pengarah UMK Kampus Jeli, YBhg. Prof. Dr. Ibrahim bin Che Omar dan Pendaftar UMK, YBhg. Prof. Dr. Razli bin Che Razak.
Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Raduan berkata, pembinaan masjid itu adalah daripada peruntukan kos sebanyak RM1 juta oleh Perdana Menteri, YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang diumumkan ketika lawatan beliau ke UMK Kampus Jeli pada 2 Mac 2012.
Beliau berkata, tambahan kos pembinaan masjid ini juga adalah hasil sumbangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB. Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed dan peruntukan UMK bagi pembinaan fasa kedua yang dijangkakan membabitkan kos sebanyak RM3 juta.
"Melalui pembinaan masjid yang diberi nama Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra ini dapat menampung 1,000 pelajar beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat dan majlis-majlis ilmu yang lain,” katanya.
Menurut Prof. Datuk Dr. Raduan, masjid itu juga dilihat bakal memberi banyak faedah dan manfaat kepada warga UMK dan masyarakat setempat yang akan dinaik taraf dari semasa ke semasa.
Katanya, lokasi kawasan masjid itu juga strategik akan memberi ruang kepada jemaah lain terutamanya pelajar MRSM, Politeknik Jeli dan penduduk sekitar Jeli sendiri untuk datang menunaikan solat Jumaat di sini.
“Alhamdullilah, UMK telah diberi kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat di masjid ini selepas mendapat kebenaran oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” jelas beliau.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Ibrahim, melahirkan kesyukuran di atas penyempurnaan perasmian masjid baharu UMK oleh Tengku Mahkota Kelantan dan Tuanku Pro-Canselor UMK, Yang Teramat Mulia, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, selepas dua tahun pembinaannya.

Sumber Info:

Monday 23 February 2015

10. Masjid Sultan Yahya Petra, Machang, Kelantan Darul Naim.


Masjid Sultan Yahya Petra terletak di bandar Machang, Kelantan Darul Naim. Masjid ini telah memenangi tempat pertama Anugerah Masjid Malaysia 2014, Kategori Masjid Daerah.

Terdapat banyak kemudahan di masjid ini. Antaranya ialah kaunter zakat, perpustakaan, wifi ,kerusi urut dan lain-lain lagi.

Tahniah kepada Ahli Jawatankuasa dan Pegawai-pegawai Masjid Sultan Yahya Petra yang telah berjaya mempelbagaikan fungsi masjid selain solat berjemaah.








Lawati: http://masjidsultanyahyapetra.e-maik.my/v3/

Monday 26 January 2015

9. Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.


 Masjid Muhammadi merupakan masjid yang terkenal di Malaysia secara amnya, dan secara khususnya di Kelantan. Ia merupakan Masjid Negeri dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhammad IV yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Ia juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan.



Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (1830 - 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.


Masjid ini mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran pada tahun 1959, 1968, 1976 dan 1987. Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah.
Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini.
Majlis Selawat sempena Maulidur Rasul 1436H baru-baru ini.
Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah".