Suatu catatan ringkas dan disertakan dengan foto-foto tentang masjid, surau, madrasah, musolla dan tempat ibadat orang Islam.

Wednesday 25 March 2015

12. Masjid Al-Wadud Kariah Bukit Bunga, Kelantan Darul Naim.

Masjid Al-Wadud Kariah Bukit Bunga terletak di tepi jalan utama dari Jeli mebuju ke Tanah Merah. Lokasinya yang berhampiran dengan jalan raya dan dekat dengan pekan Bukit Bunga menyebabkan ia disinggahi ramai yang sedang bermusafir.

Masjid Al-Wadud

Dari segi kemudahan...ia mempunyai sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan masjid dan tandasnya antara tandas terbersih yang pernah disinggahi. Tahniah kepada pihak jawatankuasa masjid dan pegawai-pegawai masjid.


Restoran (kiri) dalam kawasan masjid

Pemandangan dari luar.

Ruang solat yang selesa.

Tandas menggunakan sistem air bertapis.

Monday 9 March 2015

11. Masjid Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli.


MASJID DR. TENGKU MUHAMMAD FA-IZ PETRA MERCU TANDA BAHARU UMK

TENGKU Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah berkenan mencemar duli merasmikan masjid baharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang secara rasminya dinamakan Masjid Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Pembinaan masjid berharga RM1.5 juta itu mampu menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa bakal menjadi mercu tanda baharu bagi UMK selepas diperkenankan oleh YTM Tengku Mahkota yang menyempurnakan perasmian masjid tersebut di UMK Kampus Jeli, Kelantan, pada 26 September 2014.

 Majlis perasmian masjid itu berlangsung sebaik sahaja YTM Tengku Mahkota selesai menunaikan solat Jumaat bersama-sama warga UMK dan masyarakat sekitar Jeli dengan menurunkan tanda tangan di plak sebagai simbolik kepada perasmian pembinaan masjid tersebut.
Mengiringi baginda ialah Tengku Temenggong Kelantan, YBM Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin Bin Hj. Daud, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, YB. Dato' Haji Muhamad Shukri bin Muhamad dan Pengarah JAHEAIK, YB. Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Jusoh.
Hadir sama, Naib Canselor UMK, YBhg. Prof. Datuk Dr. Raduan bin Hj. Che Rose, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Prof. Abdul Aziz bin Ab. Latif, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Mohamad Kamal bin Hj. Harun, Pengarah UMK Kampus Jeli, YBhg. Prof. Dr. Ibrahim bin Che Omar dan Pendaftar UMK, YBhg. Prof. Dr. Razli bin Che Razak.
Sementara itu, Prof. Datuk Dr. Raduan berkata, pembinaan masjid itu adalah daripada peruntukan kos sebanyak RM1 juta oleh Perdana Menteri, YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang diumumkan ketika lawatan beliau ke UMK Kampus Jeli pada 2 Mac 2012.
Beliau berkata, tambahan kos pembinaan masjid ini juga adalah hasil sumbangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB. Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed dan peruntukan UMK bagi pembinaan fasa kedua yang dijangkakan membabitkan kos sebanyak RM3 juta.
"Melalui pembinaan masjid yang diberi nama Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra ini dapat menampung 1,000 pelajar beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat dan majlis-majlis ilmu yang lain,” katanya.
Menurut Prof. Datuk Dr. Raduan, masjid itu juga dilihat bakal memberi banyak faedah dan manfaat kepada warga UMK dan masyarakat setempat yang akan dinaik taraf dari semasa ke semasa.
Katanya, lokasi kawasan masjid itu juga strategik akan memberi ruang kepada jemaah lain terutamanya pelajar MRSM, Politeknik Jeli dan penduduk sekitar Jeli sendiri untuk datang menunaikan solat Jumaat di sini.
“Alhamdullilah, UMK telah diberi kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat di masjid ini selepas mendapat kebenaran oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” jelas beliau.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Ibrahim, melahirkan kesyukuran di atas penyempurnaan perasmian masjid baharu UMK oleh Tengku Mahkota Kelantan dan Tuanku Pro-Canselor UMK, Yang Teramat Mulia, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra, selepas dua tahun pembinaannya.

Sumber Info: